fbpx

Depoh tahanan imigresen terbakar di Mexico, 40 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis mengusung mangsa yang cedera dalam kebakaran di INM di Ciudad Juarez, semalam. – AFP

CIUDAD JUAREZ, MEXICO – Sekurang-kurangnya 40 orang maut dalam satu kebakaran di sebuah pusat tahanan imigresen di Mexico, dekat dengan sempadan Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa semalam, sekali gus mencetuskan desakan ramai bagi menuntut keadilan.

Kebakaran tercetus lewat malam kelmarin di kemudahan Institut Migrasi Negara (INM) di bandar Ciudad Juarez, menyebabkan berpuluh-puluh jentera bomba dan ambulans dikerah.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, tahanan depoh tersebut dipercayai memulakan kebakaran sebagai protes bagi membantah penghantaran pulang mereka.

“Mereka meletakkan tikar pada pintu tahanan dan membakarnya sebagai tanda protes tanpa menyangka ia akan membawa kepada tragedi buruk seperti ini,” kata Obrador.

Sementara itu, kemarahan dalam kalangan ahli keluarga mangsa tercetus di luar kemudahan tahanan itu dengan mereka melaung slogan bagi menuntut keadilan.

“Setiap imigran mempunyai hak untuk berada dalam keadaan selamat dan dilindungi. Mereka bukan penjenayah,” kata seorang keluarga mangsa, Fran Martin Perez dari Venezuela.

Menurut INM, pusat tahanan tersebut menempatkan 68 imigran dari Amerika Tengah dan Selatan.

Mangsa yang meninggal dunia termasuk tahanan dari Guatemala, Honduras, Venezuela, El Salvador, Colombia dan Ecuador, demikian menurut pihak berkuasa Mexico. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI