SHAH ALAM – “Kalau cakap rindu anak-anak pun, apa saya boleh lakukan?”
Demikian jawapan aktor Farid Kamil mengenai perasaannya ketika ini selepas 24 hari menanggung rindu kerana tidak dapat bertemu dengan dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, selepas dihalang oleh isteri, Diana Danielle.
Farid, 42, juga memberitahu dia hanya mampu berkongsi rasa sedih dalam diri berkaitan kemelut rumah tangga kepada Allah SWT ketika ini.
“Hanya kepada Dia saya mengadu. Kalau mengadu kepada sesiapa pun, belum tentu boleh dapat (jumpa anak) sebab saya sendiri tidak tahu di mana mereka berada,” katanya kepada Kosmo! Online, di sini semalam.
Mengulas dakwaan Diana yang mengenai anak perempuannya mengalami trauma, Farid memberitahu dia tidak mengetahui mengenainya, malah mempersoalkan mengapa perkara tersebut berlaku.
Dia yang ditemui di lokasi penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh juga berkata, perkara tersebut sebaik-baiknya ditanyakan sendiri kepada Diana.
“Dalam situasi begini, jika itu kenyataan (Diana) bahawa Aurora trauma, saya pun ada gambar terkini dengan anak perempuan.
“Apa yang dia trauma? Selama 24 hari itu, tiada sebab kukuh diberitahu mengapa saya tak dibenarkan bertemu dengan anak-anak, kena tanya Diana sendiri.
“Saya pun tak faham. Adakah saya telah menyinggung perasaan dia kerana bertanya satu soalan peribadi? Saya pun tak tahu.
“Kena tanya Diana sendiri mengapa dia tak beri saya jumpa anak-anak,” ujar pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari berkenaan.
Meskipun begitu, dia juga enggan mengulas terlalu banyak mengenai kemelut rumah tangga yang menghimpit dirinya ketika ini bagi menjaga aib semua pihak.
“Sebab saya tak akan mengaibkan anak-anak dan isteri hanya untuk kepentingan peribadi. Saya kalau boleh tak mahu bercakap tentang isteri atau sesiapa.
“Tugas saya apabila memilih untuk ke mahkamah ialah nak menegakkan hukum dan hakam mengikut agama Islam,” jelasnya.
Semalam, Hakim syarie Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari menasihatkan pasangan berkenaan untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka pada prosiding perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Diana sebelum ini mendakwa, tiada persefahaman dan berlaku shiqaq selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Bagaimanapun, Farid yang bakal hadir dengan filem terbaharu berjudul Anwar: The Untold Story enggan melafazkan cerai terhadap Diana. Rentetan itu, Farid juga dihalang daripada bertemu dengan dua anaknya.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE.