PUTRAJAYA – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tokoh asing pertama bertemu presiden negara itu selepas beliau dilantik semula.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu juga merupakan kunjungan sulung Anwar ke China sejak menyandang jawatan ketua kerajaan Malaysia ke-10 pada 24 November 2022 lalu.
“Lawatan itu turut bersejarah kerana beliau pemimpin luar pertama berjumpa Perdana Menteri China, Li Qiang yang dilantik 11 Mac lalu menggantikan Li Keqiang.
“Anwar muncul sebagai tokoh negara asing sulung mengadakan pertemuan dengan pemimpin China, Xi Jinping yang dilantik kembali bagi penggal ketiga,” katanya di sini tadi.
Anwar juga akan menerima kunjungan hormat Pengerusi Kongres Nasional Rakyat, Zhao Leji yang bakal menyentuh usaha pengukuhan peranan parlimen kedua-dua negara itu.
Seterusnya, Perdana Menteri bertemu rakan sejawatnya yang akan memberi peluang bagi membincangkan kerjasama pragmatik dan merangkumi banyak bidang berkepentingan. – KOSMO! ONLINE