fbpx

9 dicekup buat kerja khianat ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd.Iqbal (dua kiri) menunjukkan notis ugutan yang ditampal di rumah peminjam pada sidang akhbar tersebut.

SHAH ALAM – Kelicikan sembilan individu termasuk dua wanita melakukan kerja-kerja ah long seperti menyimbah cat dan menampal notis ugutan sejak sebulan lalu berakhir apabila dicekup bermula kelmarin.

Penangkapan kesemua suspek berusia 21 hingga 41 itu dilakukan antara pukul 8 malam Isnin lalu hingga 3 pagi semalam di sekitar Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kegiatan mereka bermula daripada seorang lelaki berusia 41 tahun yang pada awalnya ingin membuat pinjaman tanpa lesen secara online namun ditawarkan bekerja oleh ah long.

Katanya, lelaki itu kemudiannya merekrut lapan lagi anggota mereka termasuk sepasang kekasih.

“Tugasnya adalah mengugut dengan cara menampal notis, mengunci rumah dan menyimbah cat rumah peminjam yang gagal membuat bayaran.

“Setiap aktiviti dilakukan mereka perlu dibuat video sebelum dihantar kepada ah long sebagai bukti pekerjaan.

“Upah antara RM300 hingga RM540 akan diberikan mengikut jarak rumah dan tindakan diambil mereka. Kesemua bayaran dimasukkan ke akaun ketua mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditangkap tidak pernah bersemuka dengan ah long sebaliknya hanya berurusan melalui aplikasi WhatsApp dalam menerima dan menjalankan arahan tersebut.

Tambah Mohd. Iqbal, siasatan mendapati sebanyak 80 transaksi pembayaran telah dilakukan melibatkan keseluruhan dianggarkan RM25,000.

“Sebanyak 26 bayaran berkaitan aktivti tersebut sekitar daerah ini namun hanya tiga yang telah dikenalpasti. Ini berkemungkinan ada mangsa tidak membuat laporan disebabkan malu.

“Kita juga percaya kumpulan ini turut terlibat melakukan jenayah sama di negeri lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan hasil tangkapan itu turut membawa rampasan seperti sebuah kereta jenis Proton Waja, tiga motosikal, sembilan telefon bimbit, empat botol plastik mengandungi cat merah, tiga kunci mangga dan tujuh surat ugutan.

“Enam daripada suspek juga positif syabu dengan semakan mendapati tujuh mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua suspek kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI