Keunikan serta keindahan Islam sebagai cara hidup menyediakan panduan buat umatnya termasuk menggariskan etika berpakaian yang penuh keterampilan.
Islam menyediakan adab yang sesuai merangkumi kehidupan harian seperti adab makan, cara berpakaian, bekerja, berniaga dan semua berkaitan dengan keperluan manusia. Islam tidak pernah menghalang tamadun termasuk dalam fesyen berpakaian yang berkembang serta melalui perubahan.
Jika pakaian tradisi tiap negara itu sudah menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Islam, maka itulah pakaian untuk wanita Islam mereka sebagaimana kita di Malaysia dengan baju kurung misalnya.
Namun begitu, kita ditegah meniru pakaian yang digunakan untuk adat istiadat agama lain. Ia adalah terlarang untuk dipakai oleh umat Islam.
Evolusi fesyen memang mempengaruhi cara wanita berpakaian dalam apa jua lapangan. Cuma yang membezakan adalah bagaimana kita sesuaikan perubahan fesyen dalam lunas hukum syarak.
Bagi pereka busana Muslimah, paling penting bagi anda untuk memahami batas aurat dalam Islam sebelum melahirkan sesuatu karya rekaan.
Aurat
Aurat diambil daripada perkataan Arab aurah yang bererti keaiban, manakala dalam istilah fikah, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup dan dilindungi dari pandangan.
Di Malaysia, kemunculan dan perkembangan fesyen yang cukup pesat dalam mengutarakan jenama-jenama busana Muslimah dan ia memang boleh dibanggakan.
Oleh itu dalam memperkatakan mengenai fesyen sesuai untuk wanita Muslimah, kita tidak sepatutnya mengongkong fikiran dengan menggambarkan pilihan yang terhad kerana sudah jelas Islam tidak menentukan fesyen atau bentuk pakaian.
Islam tidak menetapkan fesyen pakaian atau warna tertentu yang boleh dipakai wanita Muslimah. Hanya yang ditetapkan ialah aurat wanita adalah keseluruhan tubuh badannya, kecuali bahagian muka dan telapak tangan.
Alternatif fesyen
Busana Muslimah yang ada pada hari ini adalah satu trend fesyen yang menjadi alternatif terbaik wanita Islam yang ingin menutup aurat mereka dengan gaya penuh berketerampilan. Fesyen
busana Muslimah merupakan alternatif fesyen yang dipakai untuk pelbagai tujuan, masa dan tempat. Dengan adanya pilihan seperti ini, tidaklah lagi pakaian bercirikan Islam itu dipandang konservatif, ketinggalan zaman dan sebagainya.
Pereka busana Muslimah juga perlu memperluas perspektif minda mereka dengan bukan hanya mereka pakaian berciri Islamik tetapi universal (sejagat) agar dapat diterima semua. Rekaan busana seharusnya kontemporari tetapi labuh, longgar dan tidak jarang. Pereka juga mungkin perlu berani ketengahkan idea yang menongkah arus tetapi masih menutup badan secara kreatif.
Fardu kifayah
Isu fesyen pakaian wanita Islam dijuruskan kepada perkara lebih besar dan memberi manfaat seperti mengambil peluang itu untuk membuka perniagaan berasaskan busana untuk Muslimah bagi memartabatkan wanita yang menutup aurat.
Secara ringkas, boleh dijelaskan bahawa pembabitan pereka fesyen busana Muslimah dalam menyediakan pakaian adalah termasuk dalam fardu kifayah (hukum yang memberikan penekanan terhadap kelengkapan dan keperluan hidup). Pada dasarnya, kerja pereka fesyen termasuk dalam kerja kebaikan dan kebajikan yang diharuskan oleh hukum syarak.
Justeru, adalah lebih baik sekiranya pereka busana Muslimah berusaha mengelakkan diri daripada menyediakan pakaian dan fesyen yang mendedahkan aurat.
Tanggapan orang
Pakaian yang kita pakai secara luar sedar boleh mempengaruhi pandangan dan tanggapan orang. Ia boleh mencerminkan imej, kelakuan serta akhlak diri. Kemahiran kita dalam memlilih pakaian yang sesuai sememangnya boleh membantu meningkatkan taraf diri.
Kini, busana Muslimah turut menjadi ikutan penggemar-penggemar fesyen bukan Islam, mungkin kerana nilai sosial dan positif yang mencerminkan ciri-ciri kesopanan, keanggunan dan kehebatan yang ada pada busana tersebut.
Penggayaan busana
Perlu diingat walau seindah manapun rekaan busana Muslimah yang dipakai, ia tidak akan memberi makna yang tepat jika si pemakai gagal menggayakan busana tersebut. Daripada pakaian tergambar juga kehebatan diri seseorang.
Paling penting kewibawaan dan pembawaan diri menjadi kunci utama dalam mendefinisikan imej dan personaliti positif yang dimiliki oleh seseorang, selain daripada pakaian itu sendiri.
Prinsip sopan wanita Muslimah juga menunjukkan bahawa tumpuan komunikasi mereka adalah dengan intelektualnya bukan tubuh badan.