fbpx

Penjawat awam maut, motosikal bergesel di SKVE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa maut ditempat kejadian selepas terlibat kemalangan di SKVE semalam. FOTO IHSAN POLIS

SEPANG – Seorang penjawat awam maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), petang semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang di Kilometer (KM) 1.9 SKVE hala Kajang itu, mangsa yang berusia 46 tahun dan berasal dari Kajang maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah motosikal lain dari arah Putrajaya ke Kajang.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan kedua-dua penunggang hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang wanita.

“Ekoran itu, mangsa bersama seorang lagi penunggang motosikal terjatuh atas jalan raya. Bagaimanapun, mangsa terus terbaring, manakala seorang lagi penunggang berjaya bangun dan meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Serdang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru, katanya, polis sedang mengesan pemilik motosikal dengan nombor pendaftran WC7152R bagi membantu siasatan.

“Penunggang motosikal itu adalah saksi utama dan dia diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan itu turut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Noor Faizah di talian 0138024605 untuk menyalurkan maklumat,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI