fbpx

Mahu teroka jalan baharu, punca ramai pendaki sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan mencari dan menyelamat akan bertindak segera sekiranya menerima laporan mengenai orang sesat ketika mendaki atau memasuki hutan. – gambar hiasan

SHAH ALAM – Tindakan ramai pendaki ingin meneroka laluan baharu dan jalan pintas antara faktor utama berlakunya kejadian tersesat ketika mendaki bukit di sekitar Selangor.

Usaha menjadi ‘perintis’ membuatkan ada yang sesat lebih 24 jam dengan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menunjukkan 190 kes sesat dilaporkan sepanjang 2021 hingga tahun lalu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, mereka seharusnya tidak bermain-main dan memandang rendah tahap bahaya walaupun lokasi didaki tidak begitu tinggi.

Katanya, tiga lokasi sering berlakunya kejadian sesat iaitu Hutan Komuniti Setia Alam, Bukit Wawasan di Puchong dan Bukit Broga di Semenyih.

“Biasanya mereka ini ditemui pada trail yang tidak didaki orang lain. Situasi diburukkan lagi apabila mereka mula letih untuk mencari jalan keluar sehingga ada yang cedera seperti kaki terseliuh selain berlaku dehidrasi.

“Ada juga kejadian yang di­sebabkan tindakan pendaki yang suka pergi pada waktu petang sehingga mengejar masa sebelum hari gelap,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Hafisham, bertambah buruk apabila pendaki tidak membawa kelengkapan seperti lampu dan timbul akhirnya pe­rasaan takut serta panik.

Tambahnya, ada kes pendaki sesat disebabkan kurangnya ke­cergasan, berbadan gempal malah terdapat bersikap degil dengan mendaki di lokasi yang tidak dibenarkan seperti Bukit Tabur.

“Berdasarkan rekod sebanyak 71 kes sesat pada tahun 2021 de­ngan 13 dilaporkan cedera dan tiga meninggal dunia,” katanya.

Jumlah itu meningkat pada tahun lalu kepada 119 kes dan 19 pendaki cedera serta seorang dilaporkan maut. Mereka ini ber­usia antara 13 hingga 60an.

“Sememangnya, kita tahu kerisauan mereka apabila sesat, namun menjadi masalah apabila mereka mengubah kedudukan selepas telah menghubungi pa­sukan penyelamat seterusnya menyukarkan operasi menyelamat.

“Kita sedaya upaya akan membawa mereka keluar dengan kadar segera menerusi Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia dan Pasukan Multi Skill,” jelasnya.

Hafisham tidak menolak kemungkinan kes tersesat ada kaitan dengan mistik, namun sukar dibuktikan secara saintifik dan biasanya dirumuskan dise­babkan pendaki tidak mengetahui laluan sesuatu lokasi atau pengalaman mendaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI