PETALING JAYA – “Bersangka baik pada bulan puasa, tiada istilah terpaksa dalam diri saya.”
Demikian respons ibu kepada penyampai radio dan pelawak, Shuib iaitu Salamiah Jalani apabila didakwa terpaksa menerima kehadiran usahawan Watie Hanafiah sebagai calon menantunya.
Perkara tersebut disuarakan seorang pengguna TikTok selepas Salamiah memuat naik video bersama Watie.
Menangkis dakwaan yang dilemparkan netizen, Salamiah menegaskan tidak pernah memaksa dirinya untuk menerima Watie memandangkan dia juga tidak sempurna.
“Lagi pula saya tidak sesempurna mana dan sentiasa bersyukur dengan apa adanya,” balasnya kepada seorang netizen.
Selain isu penerimaan, Salamiah turut membalas komen netizen yang memuji busana digayakan Watie kerana kelihatan lebih sopan berbanding dalam beberapa videonya sebelum ini.
“Orang baru berhijab, tidak bolehlah nak dihakimi serta-merta. Perlu dididik perlahan-lahan,” katanya.
Terdahulu, hubungan Shuib dan Watie mula dihidu apabila kedua-duanya dilihat kerap keluar bersama.
Tidak berahsia, Shuib mengakui sedang mengenal hati budi Watie malah dijangka bakal mendirikan rumah tangga sekitar pertengahan tahun ini.
Sekadar info, hasil perkahwinan Shuib dengan Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. – KOSMO! ONLINE