PETALING JAYA – Kedatangan Ramadan pada tahun ini memberikan kegembiraan berganda buat pelakon Amar Asyraf apabila menimang cahaya mata perempuan yang dilahirkan pada Sabtu lalu.
Bayi perempuan itu merupakan hasil perkongsian hidup Amar, 37, dengan isteri baharunya iaitu perkahwinan ketiga pelakon itu, Farhana Yusof.
Dalam hantaran Instagram, Amar berkongsi nama yang diberi kepada bayi perempuannya iaitu Ammara Fateema.
“Alhamdulillah syukur pada Allah SWT. Allah Maha Baik. Untuk pengetahuan rakan-rakan, pada 25 Mac 2023 bersamaan dengan 3 Ramadan yang lepas, telah lahirnya anak perempuan saya, Ammara Fateema Amar Asyraf,” tulisnya.
Menerusi perkongsian tersebut, pelakon drama Mama Papa Expres itu memuat naik gambar dia mendukung anaknya yang berbalut selimut berwarna hijau.
Amar sempat menitipkan doa agar permata hatinya itu kelak membesar sebagai anak yang solehah dan menjadi asbab untuknya dan isteri masuk ke dalam syurga.
“Semoga jadi anak yang soleh dan baik, asbab bapa dan mommy masuk syurga, insya-Allah. Terima kasih mommy, saya sangat cintakan awak, lillahitaala,” ujarnya lagi.
Untuk info, sekitar pertengahan Mei tahun lalu, Amar berkahwin kali ketiga dengan wanita pilihannya dikenali sebagai Farhana Yusof.
Sebelum itu, perkahwinan keduanya bersama Vivy Jeffry tergantung tak bertali selama hampir tiga tahun, namun rumah tangga dibina mereka akhirnya terlerai sekitar Mei tahun lalu selepas sah bercerai talak tiga. – KOSMO! ONLINE