SHAH ALAM – Bermacam-macam cara dilakukan pelakon Farid kamil untuk memenangi semula hati isterinya Diana Danielle namun secara jelas, bintang Hanyut itu sudah nekad untuk berpisah.
Selain pemberian sejambak mawar merah dan sebentuk cincin perkahwinan ‘baharu’ daripada suaminya, ditolak mentah-mentah, usaha pemilik nama sebenar nama sebenar, Farid Kamil Zahari
mahu memeluk isterinya usai prosiding tamat juga menemui jalan buntu.
Farid dilihat cuba memeluk isterinya di ruang menunggu luar pintu Dewan Bicara Mahkamah Rendah Syariah namun ditepis Diana dan lantas, wanita itu terus beredar.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson kelihatan kurang senang dengan tindakan suaminya selepas tamat prosiding permohonan cerai yang cuba menyentuh atau memeluk dirinya.
“Apa ni, apa ni!,” teriak Diana namun kemudian ditenangkan pengawal peribadinya sementelah peguam mewakili aktres itu, Datuk Akberdin Abdul Kader dilihat cuba menasihati Farid agar tidak mengganggu emosi anak guamnya.
Farid kemudian dilihat menyerahkan kotak cincin itu kepada peguam syarienya, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Diana kemudian bertindak meninggalkan ruang menunggu di luar dewan mahkamah menaiki kenderaan miliknya selepas suaminya itu meninggalkan lokasi sama. – KOSMO! ONLINE