GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan Indonesia serta sembilan kru warganegara terbabit selepas didapati menceroboh perairan negara ini untuk menangkap hasil laut semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia melakukan penahanan ke atas kedua-dua buah bot nelayan itu di kedudukan 83 dan 88 kilometer barat daya Pulau Kendi di sini.
Menurutnya, tangkapan ke atas warga Indonesia yang masing-masing berusia 17 hingga 41 tahun itu dijalankan kira-kira pukul 11.40 pagi dan 12.10 tengah hari.
”Hasil pemeriksaan awal, bot pertama dikendalikan empat kru manakala bot kedua pula dikendalikan lima kru.
”Siasatan lanjut pula mendapati, kedua-dua bot terbabit berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Kedua-dua bot dan kru serta peralatan menangkap ikan disita dan ditahan seterusnya dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, APMM akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian O4-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE.