MARANG – Dua ekor penyu agar ditemukan mati dalam dua kes berasingan di daerah ini semalam.
Dalam kes pertama, seekor penyu agar jantan ditemukan mati terdampar di Pulau Kapas di sini oleh seorang pemandu bot tempatan pada pukul 1 tengah hari.
Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd. Farith Rezza Isa berkata, penyu tersebut yang mempunyai kesan berdarah di bahagian mulut dipercayai mati dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan lain dikesan pada bangkai penyu itu yang berukuran 84 sentimeter (sm) panjang dan 75 sm lebar tersebut.
“Dalam kejadian berasingan pula, seekor lagi penyu agar dewasa ditemui mati di muara Sungai Marang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Farith Rezza berkata, bangkai reptilia tersebut ditemukan terapung oleh seorang pemandu bot lain namun ia tidak sempat diambil kerana beberapa kekangan.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya bangkai penyu tersebut boleh terdampar di lokasi lain tidak lama lagi.
“Kedua-dua penemuan (bangkai penyu) tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.