SHAH ALAM – Pelakon Diana Danielle yang juga isteri Farid Kamil mendakwa tuduhan dilemparkan suaminya berhubung wujudnya isu kecurangan atau didorong orang ketiga sehingga mencetuskan pergolakan perkahwinan mereka sebagai fitnah.
Tenang menjawab segala pertuduhan, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson ketika ditemui selepas perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkata: “Itu fitnah. Masalahnya adalah daripada dia 100 peratus, bukan saya.
“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi, dia dah hilangkan selama lapan tahun.”
Ujar pelakon filem Imaginur itu lagi, menjadi satu persoalan besar mengapa Farid bertindak sedemikian rupa hari ini.
“Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan saya cincin kahwin (sekarang),” katanya.
Ditanya tentang alasan menfailkan perceraian terhadap suaminya itu, Diana, 32, membalas dengan satu perkataan berbunyi: “Tanggungjawab.”
Menjelaskan kewajaran dakwaan Farid menuduhnya ‘kantoi’ mempunyai orang ketiga dalam perkahwinan, Diana membalas, sekiranya perkara tersebut berlaku, suaminya itu tidak perlu membawa jambangan bunga di mahkamah.
“Kalau ‘kantoi’, kenapa nak bawa bunga,” katanya ringkas sambil berjalan ke arah kenderaan miliknya.
Terdahulu Farid mendakwa sudah hampir sebulan atau 23 hari tidak berjumpa dengan anak-anaknya iaitu Muhammad dan Nur Aurora sejak krisis rumah tangganya diketahui umum.
Ditanya tentang kesahihan perihal terbabit, Diana secara ringkas memberitahu, anak perempuannya Aurora berada dalama keadaan trauma.
“Aurora trauma,” kata Diana sebelum memasuki kereta meninggalkan mahkamah.
Hari ini, Farid Kamil dan Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini bagi perlantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Masalah perkahwinan mereka berlaku apabila wujud tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – KOSMO! ONLINE.