fbpx

Dewan Negara: RM5 harga untuk Menu Rahmah, bukan jualan pakaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin

KUALA LUMPUR – Harga RM5 yang ditawarkan menerusi inisiatif Rahmah hanya merangkumi menu makanan yang dijual peniaga sekali gus tidak melibatkan barangan lain.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bagi barangan selain makanan, harga ditetapkan tidak tertakluk kepada RM5 tersebut.

“Harga RM5 itu hanya menu (makanan), malah mereka boleh menjualnya dan menawarkan harga RM5 ke bawah. Sebagai contoh saya bersama Menteri Pengajian Tinggi dengan bajet yang ada di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), ia (Menu Rahmah) beri manfaat hampir 300,000 pelajar universiti awam (UA).

“Bagi jualan (selain makanan) bukan RM5. Contonya Jakel yang mana harga baju Melayu model Aaron Aziz atau Nabil RM350. Bila kita libat urus dengan Jakel (untuk jualan Rahmah), harga diturunkan kepada RM148 dengan jualan satu juta pasang,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Salahuddin berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang mencelah bagi mendapatkan penjelasan berhubung harga Rahmah untuk kategori selain makanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah yang diperkenalkan syarikat tekstil itu sudah tentu menggembirakan rakyat bagi menyambut hari raya Aidilfitri nanti.

“Jika ada rungutan atau aduan berhubung kualiti, adukan perkara ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana sememangnya kita buat perjanjian industri dan tidak akan tolak ansur berkaitan kualiti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI