PETALING JAYA – Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat iaitu melaksana reformasi struktur ekonomi, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan usaha mereformasi struktur ekonomi ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi bagi mengukuhkan pertumbuhan dan meningkatkan produktiviti dalam semua sektor.
“Selain itu, penekanan akan diberi kepada sumber pertumbuhan baharu daripada sektor strategik dan berimpak tinggi, antaranya industri elektrik dan elektronik (E&E), perkhidmatan global, aeroangkasa, industri kreatif, pelancongan, halal, biojisim dan aktiviti pertanian pintar.
“Penekanan turut akan diberi untuk meningkatkan penerimagunaan teknologi dan pendigitalan, termasuk pembangunan pusat data. Selain itu, industri yang mementingkan alam sekitar seperti kereta elektrik dan tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga solar dan teknologi bateri akan turut diberi perhatian,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Koh Nai Kwong yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan langkah Kerajaan serta cara pelaksanaan untuk meneruskan momentum pemulihan ekonomi Malaysia.
Dalam pada itu Rafizi berkata, sektor swasta juga akan terus dipacu sebagai rakan pembangunan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi.
“Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepatkan kelulusan projek yang berpotensi tinggi.
“Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pelaburan bagi industri berimpak tinggi yang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi,” ujarnya.
Katanya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana akan turut diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan melalui pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan mengembangkan operasi perniagaan. – KOSMO! ONLINE