fbpx

Buka 25 jam, SPRM bebas buat siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution menyampaikan bantuan food bank kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut di IPK Selangor. FOTO: SYAKIR RADIN

SHAH ALAM – Tiada sebarang sekatan dikenakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat sebarang perilaku rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komitmennya adalah mendokong agensi penguatkuasa seperti SPRM dengan penuh kepercayaan.

Katanya, ini menunjukkan keterbukaan KDN bahawa usaha mengatasi ancaman rasuah ini harus berlaku dari peringkat atas sehingga bawah menerusi iltizam politik.

“Apa pun jabatan bawahnya asalkan ada interaksi dengan orang ramai di mana masyarakat mempunyai bukti dan alasan untuk mengaitkannya, proses tepat adalah buat laporan segera kepada SPRM.

“Kita (KDN) buka 25 jam sehari dengan cara hormati dan iktiraf peranan agensi penguatkuasa seperti SPRM melakukan tugasan tanpa ada kacau ganggu, sekatan, dan bebas (dalam menjalankan siasatan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penerapan nilai-nilai murni dan iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menegaskan tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan.

Ini ekoran kebanjiran warga asing yang dilihat sebagai peluang besar terhadap segelintir penguat kuasa tidak berintegriti
untuk membuat duit menerusi perbuatan rasuah.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, tadbir urus kerajaan yang baik mesti ada elemen usaha mengatasi amalan rasuah di semua peringkat kerajaan.

“Ini menjadi antara tiga perkara ditumpukan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sejak hari pertama memegang jawatannya iaitu tatakelola pentadbiran selain menumpukan penstukturan ekonomi dan jaminan keadilan sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI