TAMPIN – Perasaan tidak sedap hati seorang abang yang tidak melihat adiknya, Saripah setelah berada seminggu di Kampung Keru, di sini, rupa-rupanya terjadi kejadian tidak diingini apabila adiknya ditemui sudah meninggal dunia di rumah pagi tadi.
Abang berkenaan, Abu Hanifah Baba, 71, yang menetap di Felda Besaut, Perak pulang ke kampung untuk mengambil upah menguruskan kebun kelapa sawit di Lubuk China yang telah diusahakannya lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, dia tinggal di rumah peninggalan salah seorang adik-beradiknya dan kebiasaannya akan nampak Saripah, 60-an di luar rumah setiap pagi.
“Biasanya ada nampak adik Saripah di luar rumahnya tapi kali ini tak nampak. Pagi ini saya nak gerak pulang ke Perak dan pergi menjenguk adik kerana bimbang. Pintu pagar rumahnya berkunci. Saya panjat, masa itu tak ada apa-apa bau pun.
“Apabila buka cermin tingkap rumah barulah saya terbau busuk dan ternampak adik sudah terbaring tidak bernyawa di lantai. Saya terus ke balai polis untuk membuat laporan. Ikutkan, adik saya yang merupakan pesara jururawat serta tidak berkahwin ini memang agak sukar untuk dihubungi.
“Namun, dia ada menziarahi saya di Perak sebaik mengetahui isteri saya sakit sebelum ini. Kini dari enam beradik hanya tinggal berdua yang masih hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6 1/2, Keru, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada abang si mati yang hadir ke balai pada pukul 10.35 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati si mati tinggal bersendirian dan telah meninggal dunia lebih 24 jam berdasarkan bau dan mayat yang telah kembung.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.