fbpx

5 lagi lebuh raya laksana sistem pembayaran guna debit, kredit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan - Plaza Tol Bentong.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lagi lebuh raya bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka tol yang membolehkan pengguna membayar menggunakan kad debit dan kredit bermula pertengahan September ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara yang terlibat adalah Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Katanya penambahan ini menjadikan keseluruhannya 11 lebuh raya seluruh negara akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka itu bagi kemudahan pengguna.

Selain itu, menurutnya, Lebuhraya Sungai Besi juga telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Proof of Concept (POC) Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang pertama.

“Pelaksanaan POC ini akan dibuat pada penghujung Oktober ini bagi menilai sistem MLFF sebelum ianya dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF.

“Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Nanta menjelaskan, sistem pembayaran terbuka dan MLFF tidak boleh dilaksanakan semalaman dan ia perlu melalui pelbagai peringkat.

“Perkara ini tentunya bukan mudah dan memerlukan perancangan teliti dan penggunaan teknologi yang berpatutan serta rundingan bersama pelbagai pihak sebelum ianya dapat dilaksanakan sepenuhya.

“Saya ingin memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” ujarnya.

Terdahulu, beliau berkata, pembayaran tol terbuka akan dilaksanakan di lima lebuh raya terpilih terlebih dahulu bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan.

Katanya, lebuh raya yang terbabit adalah Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuh Raya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI