JAKARTA – Seorang wanita separuh usia nekad melawan dua peragut yang mencuri telefon bimbit miliknya, menyebabkan mereka melarikan diri kerana ketakutan, lapor program berita Liputan6 kelmarin.
Klip video mengenainya yang tular di laman Instagram menunjukkan wanita terbabit melawan dua peragut yang cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal setelah mencuri telefon bimbit mangsa.
Jenayah ragut itu dilakukan oleh dua orang pemuda.
Namun, ketika cuba melarikan diri, wanita tersebut dengan pantas menghalang motosikal mereka dengan memegang bahagian tempat duduk belakang.
Kudrat wanita itu sungguh kuat sehingga mampu menghalang motosikal tersebut dan menyebabkan kedua-dua peragut terjatuh.
Selepas bertarung untuk seketika, kedua-dua penjenayah itu segera beredar dan meninggalkan motosikal mereka kerana bimbang akan ditangkap oleh penduduk sekitar.
Video itu mendapat perhatian netizen yang memuji keberanian wanita berkenaan.
“Memang hebat. Kuasa mak cik memang tidak ada lawan. Motosikal yang dinaiki dua lelaki terus jatuh,” kata seorang netizen.
“Meskipun telefon bimbitnya dibawa lari, apabila difikirkan kembali, dia mendapat motosikal yang ditinggalkan oleh dua pencuri tersebut,” ujar seorang lagi pengguna media sosial. – Agensi