fbpx

110 pegawai, anggota ATM misi Starlight II selamat tiba ke tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi Buang serta Emir Salim Yuksel menyambut para pegawai dan anggota ATM yang ditugaskan dalam Operasi Starlight II di KLIA tadi. FOTO KAMARIAH KHALIDI

SEPANG – Seramai 110 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan dalam Operasi Starlight II selamat kembali ke tanah air petang tadi selepas enam minggu melaksanakan pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Celikhan, Turkiye.

Mereka yang menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kira-kira pukul 5.30 petang tadi disambut Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Duta Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel.

HMM yang memulakan pengoperasiannya pada 9 Februari lalu menawarkan perkhidmatan perubatan Tahap 3 kepada masyarakat setempat serta melaksanakan Outreach Medical Program melalui Forward Medical Team (FMT).

Affendi berkata, pendekatan FMT adalah mengatur gerak petugas kesihatan HMM ke rumah-rumah penduduk di sekitar Celikhan bagi memeriksa warga emas dan mereka yang lemah untuk disaring serta dibawa ke HMM jika memerlukan rawatan lanjut.

“Sepanjang tempoh beroperasi, HMM telah merawat seramai 2,415 pesakit termasuk 83 kes pembedahan yang berjaya dilaksanakan dan 159 pesakit yang diberikan rawatan melalui pendekatan FMT,” katanya.

Katanya, proses membawa pulang aset-aset perubatan dilaksanakan menggunakan dua buah pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia yang diatur gerak ke Republik Turkiye pada 23 Mac lalu dan tiba di Pangkalan Udara Subang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI