SEOUL – Seorang wanita di Korea Selatan akhirnya lulus ujian memandu pada percubaan kali ke-960 selepas membayar lebih £11,000 (RM59,644) untuk mendapatkan lesennya, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Cha Sa-soon, 69, mula menduduki ujian bertulis pada April 2005 dan selepas gagal buat kali pertama, dia terus mengambilnya semula pada setiap hari, lima hari seminggu selama tiga tahun.
Selepas 780 kali mencuba, Sa-soon mengambil ujian bertulis tersebut cuma dua kali dalam seminggu sehingga dia akhirnya lulus dan perlu meneruskan ujian praktikal latihan memandu.
Sa-soon kemudian lulus ujian praktikal selepas mencuba sebanyak 10 kali. Ini bermakna dia telah melalui 960 peperiksaan secara keseluruhan sebelum akhirnya mendapat lesen.
Wanita itu enggan berputus asa kerana dia perlukan lesen memandu untuk memudahkan perniagaan sayurannya.
Menurut laporan, Sa-soon membelanjakan lebih £11,000 (RM59,644) untuk mendapatkan lesen memandu tersebut.
Guru memandunya di Sekolah Memandu Jeonbuk berkata, dia lega apabila Sa-soon mendapat lesen memandu.
“Apabila dia akhirnya mendapat lesen, kami semua keluar sambil bersorak dan memeluknya serta memberinya bunga.
“Perasaan kami adalah ibarat beban besar telah dialihkan daripada belakang kami. Kami tidak berani menyuruhnya berhenti kerana dia tidak sesekali berputus asa,” kata guru berkenaan.
Disebabkan ketabahannya, Sa-soon menjadi selebriti dan muncul dalam iklan syarikat pengeluar kereta tempatan, Hyundai.
Hyundai malah menghadiahkan Sa-soon sebuah kenderaan baharu berharga hampir £11,640 (RM63,117). – Agensi