BACHOK – Seorang wanita diberi amaran oleh pihak berkuasa yang menemui 20 bungkus nasi lauk ayam disembunyikan di dalam mesin basuh semasa operasi membanteras individu ponteng puasa di rumahnya di Tangok di sini semalam.
Perbuatan itu dikesan oleh Pejabat Agama Jajahan Bachok dan Majlis Daerah Bachok dalam operasi yang bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Pegawai Agama Jajahan Bachok, Suratemi Mat Yusof berkata, wanita berusia dalam lingkungan 40-an yang juga merupakan pemilik rumah tersebut dikesan menjual makanan kepada individu ponteng puasa semasa pihaknya melakukan pemantauan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah itu kemudiannya menemui lebih 20 bungkus nasi disembunyikan di dalam mesin basuh dan ayam yang sudah diperap di dalam tandas.
“Selain itu, kita turut menjumpai bungkusan teh O ais berada di dalam sebuah bilik yang dipercayai untuk dijual bersama nasi berlauk ayam itu.
“Siasatan lanjut mendapati, wanita terbabit mengaku menjual nasi itu kepada individu ponteng puasa. Mereka akan datang ke rumahnya untuk mengambil makanan tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Suratemi memberitahu, pihaknya mengambil tindakan dengan memberi amaran dan menasihati wanita terbabit agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Katanya, selain itu, peniaga itu juga akan dipanggil untuk sesi kaunseling agar tidak menjual makanan pada waktu siang sepanjang bulan Ramadan.
“Tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu kerana pelanggan kepada wanita terbabit sempat melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE