HULU LANGAT – Syarikat perkhidmatan p-hailling diminta lebih bertanggungjawab dalam memastikan setiap penghantar makanan mereka mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, syarikat perkhidmatan p-hailling tidak patut hanya memikirkan keuntungan, manakala kebajikan sosial penghantar makanan mereka tidak diutamakan.
“Memang p-hailling diwajibkan (mendaftar SKSPS), tetapi isunya takkan hendak tahan (penghantar makan) tengah jalan pastikan daftar atau tidak. Kalau tidak daftar takkan hendak keluarkan saman dan sebagainya.
“Kita minta kerjasama pemilik platform p-hailling membantu dan mewajibkan. Jangan hanya hendak pantau daripada segi perniagaan sahaja. Kena pastikan semua “rider” mereka berdaftar supaya kebajikan terjamin.
“Saya minta bantuan pemilik platform p-hailling kalau boleh pastikan. Buat tindakan yang sewajarnya membolehkan mereka mendaftar,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Michu di sini hari ini.
Terdahulu beliau menziarahi keluarga Allahyarham Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid, 30, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sewaktu bekerja sebagai penghantar makanan pada 11 Mac lalu.
Isterinya, Siti Nur Aishah Mohd. Ali, 31, dan empat anak berusia antara 4 hingga 10 tahun menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) RM1,395 sebulan dibawah SKSPS.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, pekerja p-hailling tertakluk dibawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan mereka dianggap tiada majikan.
“P-hailling memang wajib (mencarum), tetapi mereka (penghantar makanan) tiada majikan. Mereka ini cuma mengambil kerja apabila mereka diambil sebagai “rider”.
“Bagi saya walaupun mereka (syarikat perkhidmatan p-hailling) menganggap mereka bukan majikan, kena ada bantuan pastikan (penghantar makanan) mendaftar. Pemilik platform patut bertanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE