WASHINGTON – Seorang ahli fizik dari Universiti Harvard merancang satu ekspedisi ke Lautan Pasifik bagi mencari apa yang dia percayai adalah artifak makhluk asing yang terhempas dari angkasa lepas, lapor laman berita Wion News semalam.
Avi Loeb mengumumkan bahawa ekspedisi menelan kos AS$1.5 juta (RM6.6 juta) ke Papua New Guinea itu adalah bagi mencari serpihan objek yang terhempas di luar pantai Pulau Manus di negara itu pada 2014.
Objek tersebut disedari Loeb pada 2019 dan ia dikenal pasti sebagai meteor rentas bintang pertama yang ditemui dan berasal dari luar sistem suria.
Loeb berkata, asal usul meteor tersebut telah disahkan kepada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) oleh markas Jabatan Pertahanan Angkasa pada April 2022.
Dia dan pasukannya turut menyimpulkan bahawa meteor tersebut adalah lebih keras berbanding kesemua 272 meteor yang disenaraikan dalam katalog Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi yang dikeluarkan NASA.
“Tertarik dengan kesimpulan ini, saya menubuhkan sebuah pasukan untuk ekspedisi selama dua minggu bagi mencari serpihan meteor pada kedalaman 1.7 kilometer di dasar lautan.
“Kami memiliki bot dan pasukan termasuk beberapa profesional berpengalaman serta berkelayakan dalam ekspedisi lautan,” ujarnya.
Tambah Loeb, terdapat kemungkinan meteor tersebut adalah keras kerana ia merupakan objek tiruan dan dilancarkan berbilion-bilion tahun lalu dari tamadun yang jauh. – Agensi