MODEL terkenal dunia Bella Hadid berkongsi keterujaan menyambut kedatangan Ramadan yang diraikan umat Islam di seluruh dunia.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, adik kepada Gigi Hadid itu memuat naik ucapan menyambut bulan Ramadan untuk pengikutnya dalam media sosial.
“Salam Ramadan Mubarak. Saya harap bulan yang penuh suci ini akan menjadi bulan kedamaian buat semua,” tulisnya.
Hantaran yang dimuat naik model berdarah Palestin itu menerima reaksi positif daripada pengikutnya terutama yang beragama Islam apabila turut mengucapkan selamat menyambut bulan puasa kepada Bella.
“Selamat menyambut bulan Ramadan cantik. Semoga Ramadan kali ini memberi kegembiraan kepada kamu sekeluarga,” ujar seorang peminatnya.
Bahkan, bapanya, Mohamed Hadid turut meninggalkan komen menerusi ucapan tersebut apabila mendoakan anaknya sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.
“Wahai anakku, semoga kamu sentiasa berada dalam kedamaian Allah SWT dan disayangi, insya-Allah,” katanya.