VENICE, ITALI – Pihak berkuasa Itali memburu seorang lelaki yang terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan ke dalam terusan di Venice serta rakannya yang merakam video tersebut, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Datuk Bandar Venice, Luigi Brugnaro secara sinis berkata, beliau akan menyerahkan ‘sijil kebodohan’ kepada lelaki itu atas tindakannya yang kini tular di laman media sosial.
Menurut beliau, lelaki berkenaan dan rakannya yang merakam video itu akan ditahan atas tindakan mereka yang berbahaya itu.
“Kita sedang memburu lelaki tersebut dan membuat laporan polis kerana dia dan rakannya menghasilkan video untuk dimuat naik di laman media sosial,” kata Brugnaro.
Dalam video tersebut, lelaki berkenaan yang hanya memakai seluar pendek dilhat berdiri di atas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat sebelum melompat masuk ke dalam sebuah terusan.
Brugnaro berkata, beliau telah mengarahkan anggota polis memeriksa keadaan bangunan itu bagi menentukan bagaimana lelaki berkenaan boleh memasuki bangunan kediaman peribadi tersebut serta memanjat ke atas bumbung.
“Dia bukan sahaja merisikokan nyawanya untuk melompat, bahkan cuba melakukan jenayah. Mereka tidak sedar mengenai bahaya yang mungkin tercetus di bandar ini akibat perbuatan itu. Bagaimana jika ada bot sedang melalui terusan ketika itu?” ujar Brugnaro.
Brugnaro dalam masa sama turut menggesa orang ramai yang menonton video itu untuk mengenal pasti lelaki berkeaan yang dirujuk sebagai ‘pelancong’.
“Mereka melakukan perkara-perkara tidak masuk akal hanya semata-mata untuk mendapatkan tanda suka (likes) di media sosial,” kata Brugnaro sambil menambah, pihaknya akan menghukum dua suspek tersebut mengikut undang-undang. – Agensi