REMBAU – Sepasang suami isteri yang mencari rezeki dengan berniaga kebab, tortilla dan roti john sejak lima tahun lalu, nekad bersedekah hari ini.
Ia brtujuan bagi membersihkan nama setelah terdapat hantaran tular mendakwa jualan roti john di lokasi bazar perniagaan mereka hanya terdapat sayur sahaja.
Muhammad Izzudin Tajuddin, 30, dan isterinya, Atikah Ab Dollah, 28, berasa sedih dan terasa lebih-lebih lagi pemilik media sosial berkenaan turut menyatakan laksa yang dijual, kuahnya sudah basi.
Menurut Atikah yang merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM), di gerai jualan mereka sememangnya ada menjual laksa, kuih-muih serta lauk pauk yang dihantar oleh kenalan lain bagi sama-sama memberi peluang mencari rezeki.
“Jadi, bila baca hantaran yang tular itu, saya sedih dan terasa. Saya hantar pesanan di Facebook beliau, namun dia juga tidak dapat menyatakan dengan jelas gerai yang dibelinya.
“Fikir punya fikir, kami nekad untuk membersihkan nama dengan bersedekah 30 roti john dan 30 kebab petang ini. Untuk yang membuat hantaran pun ada, tapi masih belum datang bagi mengambil ganti rugi ini,” katanya ketika ditemui di bazar berhampiran Pejabat Majlis Daerah Rembau, di sini, hari ini.
Bagi Muhammad Izzudin pula, dia yang merupakan pelajar Kolej Yayasan Pahang bagi kursus bakeri dan pastri berasa agak terkejut dengan hantaran berkenaan lebih-lebih lagi bahan yang digunakan bagi roti john iaitu daging serta ayam diletakkan sebanyak dua kali ganda.
Menurutnya, dia menggunakan resepi yang diambil dari Turki serta disesuaikan dengan masyarakat setempat apabila daging yang digunakan sudah dimasak bersama rempah.
“Sebelum ini kami meniaga nasi lemak berlauk RM2 di Pekan Rembau, namun, kali ini kami meniaga menu roti john, kebab dan air soya pula. Ikutkan, menu ini memang kami sudah usahakan sejak perintah kawalan pergerakkan (PKP) dahulu dengan berniaga di rumah di Pulau Mampat.
“Malah, asal nama kedai Ketojohn juga dengan mengabungkan nama kebab, tortilla serta roti john. Kami harap agar pembeli juadah bazar ramadan sekiranya terdapat sebarang kesilapan dari penjual dapat terus berhubung dengan penjual bagi tujuan penambahbaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE