KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu yang teribat dalam nahas Transit Aliran Ringan (LRT) yang dua tahun lalu, mengemukakan saman lebih RM860,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad kerana didakwa gagal dan cuai memastikan keselamatan mereka semasa menggunakan pengangkutan itu.
Individu terbabit ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena Jitol, 28, Riezariel Haeqal, 23, Rozita Che Rus, 28, Ng Siow Nee, 36, Siti Nuraliah Hashim, 26, Nurul Athirah Mohd K. Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd. Saleh, 35.
Mereka selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini pada 9 Mac lalu dengan menamakan dua pihak terbabit masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh, plaintif-plaintif mendakwa antaranya defendan-defendan gagal memastikan LRT yang digunakan mangsa beroperasi selamat bergerak ke hadapan dan tiada sebarang halangan oleh tren lain.
Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa kegagalan Rapid Rail Sdn. kedua-dua defendan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) menyumbang kepada pelanggaran tren terbabit.
Selain itu plaintif-plaintif juga mendakwa defendan-defendan gagal menggunakan kemahiran teknikal dalam pengendalian dan pengawalan perkhidmatan LRT, selain tiada perhatian kepada keselamatan plaintif dan penumpang lain.
“Gagal mengambil sebarang tindakan dan langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan serta gagal untuk membrek, memberhentikan, memperlahankan dan mengawal LRT supaya kemalangan dapat dielakkan,” kata pernyataan tuntutan itu.
Tambah mereka selepas kemalangan itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd. (ketika itu), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, membuat jenaka pada sidang media dengan berkata kedua-dua kereta api itu ‘bercium’ antara satu sama lain.
“Tajuddin juga dilihat ketawa menurut video yang diterbitkan saluran televisyen,” katanya.
Justeru plaintif-plaintif menuntut ganti rugi am dan faedah di atasnya pada kadar lima peratus setahun dari dari tarikh pemfailan writ sehingga ke tarikh penghakiman, serta ganti rugi khas dan faedah di atasnya pada kadar sama dari tarikh kemalangan hingga ke tarikh penghakiman.
“Selain itu kos dan apa-apa relif selanjutnya dan yang lain sebagaimana yang difikirkan adil oleh mahkamah,” katanya.
Sementara itu, hasil semakan sistem mahkamah, pengurusan kes saman itu telah ditetapkan pada 11 April ini.
Pada 24 Mei 2021, media melaporkan seramai 213 penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dilaporkan cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru di sini.
Suasana panik berkenaan dapat dilihat dengan jelas menerusi sebuah rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial.
Beberapa penumpang juga dilihat terduduk di lantai yang penuh dengan kaca berderai dan terdapat penumpang yang menangis teresak-esak sambil menutup bahagian tubuh yang berdarah selepas terjatuh akibat insiden tersebut. – KOSMO! ONLINE