fbpx

Mahkamah: Dua beradik didakwa beri rasuah pada polis RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada polis untuk mengelak daripada dikenakan tindakan atas kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.

Bagaimanapun, A. Vijayakumar, 47 dan adiknya A.Ragubathi, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dengan niat bersama memberikan suapan itu berjumlah RM25,000 kepada seorang penolong penguasa polis yang bertugas di cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Rasuah berkenaan sebagai dorongan supaya Suhaimi melepaskan kedua-dua tertuduh daripada dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini, pada 28 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Juliza Maaras, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan perlu melapor diri di SPRM Selangor dan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam R.Mahendran Naidu yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin itu dikurangkan.

“Kedua-dua tertuduh tiada risiko melarikan diri kerana ada jalankan perniagaan di sini. Mereka ada ibu bapa yang sakit di mana ibunya ada strok yang perlu rawatan dari semasa ke semasa.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Tarikh 23 Mei ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI