PUTATAN – Lelaki dikhuatiri hilang selepas menyelamatkan anaknya daripada lemas di dalam sebuah kenderaan petang semalam ditemui lemas pagi ini.
Dilaporkan hilang hampir 16 jam, mayat Lasibi Lawahidu, 40, ditemui pasukan penyelamat dengan menggunakan dron dari Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah sekitar pukul 9.15 pagi, kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, operasi pencarian hari kedua hari ini bermula pukul 6 pagi selepas ditangguh pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Pasukan penyelamat SAR berjaya menemui mangsa pada pukul 9.15 pagi tadi dalam keadaan terapung dengan jarak 300 meter dari lokasi mangsa dilihat tenggelam ketika menyelamatkan anaknya, semalam.
“Mangsa sudah dikeluarkan dari sungai dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Mohd. Haris memaklumkan, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Terdahulu, ekoran menyelamatkan anak lelaki berusia lima tahun, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta miliknya terjatuh di dalam sungai Kampung Imbahan petang semalam.- KOSMO! ONLINE