MUTAKHIR ini industri kreatif digital semakin mendapat tempat dalam pasaran.
Industri berkenaan juga menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Maka, tidak hairanlah kini banyak pelajar memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang berkaitan industri tersebut.
Kolej Claz’room merupakan salah satu institusi pendidikan yang menawarkan pengajian dalam bidang tersebut.
Dalam usaha memupuk bakat dalam industri kreatif digital, Kolej Claz’room telah menjalinkan kerjasama dengan Level Infinite yang merupakan jenama permainan global terkenal di bawah Tencent Games.
Kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan menyokong pembangunan bakat muda dalam industri kreatif digital di Malaysia.
Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini, ia menjadi tanda komitmen kedua-dua organisasi untuk menyediakan pelajar dengan akses kurikulum termaju, peluang bimbingan dan pengalaman praktikal.
Ini bagi membolehkan para pelajar bersedia dengan kerjaya dalam industri kreatif yang dinamik.
Pengarah Urusan Kolej Claz’room, Yan Ning Tung berkata, pihaknya ingin merapatkan jurang antara pendidikan dan industri yang semakin berkembang dalam usaha menarik perhatian semua orang.
“Kerjasama antara kami dengan Level Infinite ini merupakan satu langkah yang wajar dan tepat.
“Ini membolehkan bakat-bakat muda yang kreatif mendapat akses dan peluang yang tidak terkira banyaknya,” katanya.
Melalui kerjasama itu juga, penerbit PUBG Mobile akan menghantar profesional kreatif untuk memberi bimbingan kepada pelajar dalam penciptaan kandungan seni multimedia.
Menariknya, profesional yang berpengalaman luas itu akan berkongsi pandangan dan pengetahuan mereka tentang keperluan industri.
Usaha berkenaan dapat membangunkan kemahiran yang diperlukan oleh para pelajar untuk berjaya dan memberi kelebihan daya saing dalam kerjaya.
Melalui kerjasama itu juga, Level Infinite akan memanfaatkan sekumpulan besar bakat di Claz’room untuk membangunkan penyelesaian perniagaan yang inovatif.
Pelajar bertanggungjawab ke atas karya seni mereka. Ia akan dikreditkan apabila karya pelajar dikomersialkan, sekali gus mempromosikan visi seni mereka kepada khalayak.
Selain itu, Level Infinite telah memperuntukkan kuota latihan untuk pelajar Claz’room.
Ia bagi memupuk bakat di luar bilik darjah dalam industri kreatif digital tempatan yang dinamik.
Sementara itu, Pengurus Negara (Malaysia) Level Infinite, Eugene Chin berkata, bakat tempatan mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri kreatif digital.
“Kami berhasrat untuk memberi kembali kepada komuniti menerusi kerjasama dengan Kolej Claz’room.
“Kami akan membawa pelbagai aktiviti menarik kepada pelajar dan masyarakat.
“Usaha ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menyumbang kepada sektor media digital serta menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Ini membolehkan sejumlah besar bakat muda meneruskan minat mereka dalam permainan video,” jelasnya.