fbpx

KKM perkenal projek rintis kluster HTAR bantu kurangkan kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memulakan Projek Rintis Kluster Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor sejak Sabtu lalu bagi mengurangkan kesesakan selain tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek itu termasuk pelanjutan waktu operasi Klinik Kesihatan Bandar Botanik yang kini beroperasi setiap hari.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Bandar Botanik memanjangkan waktu operasi bagi menangani kedatangan pesakit kategori zon hijau (mengalami gejala ringan dan kes bukan kecemasan) di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.

“Klinik itu kini beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 9.30 malam dengan waktu menerima pendaftaran pesakit terhad hingga 9 malam termasuk hari Kelepasan Am,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr. Zaliha mengumumkan pelaksanaan pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan tertentu di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital.

Pada masa sama, Dr. Zaliha berkata, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersetuju supaya KKM melaksanakan projek rintis tersebut.

Menurutnya, beliau berharap pesakit yang hanya mempunyai gejala ringan atau kes bukan kecemasan tidak lagi berkunjung ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, sebaliknya hadir ke Klinik Kesihatan Bandar Botanik mengikut waktu yang ditetapkan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI