fbpx

Jangan beri duit kepada peminta sedekah ‘gaji’ RM8,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan berita tentang seorang pengemis warga asing mampu meraih RM8,500 sebulan daripada hasil aktiviti tersebut di lokasi tumpuan ramai termasuk dalam kalangan pelancong asing sekitar ibu negara.

Hanya bermodalkan lakonan yang kelihatan nyata di mata orang ramai tentang kesusahan dan penderitaan yang mereka alami, mampu menarik simpati masyarakat untuk menghulurkan wang seringgit dua.

Malahan, ada yang sanggup mengusung anak kecil dan dibaringkan ketika meminta sedekah, kononnya menghidap penyakit yang memerlukan biaya besar untuk kos rawatan.

Murahnya hati rakyat Malaysia dalam hal ini hingga sanggup ‘ditipu’ oleh pengemis yang mengaut ratusan ringgit sehari yang kalau dikumpulkan, kalah gaji seorang eksekutif di syarikat swasta atau pegawai kerajaan.

Kedatangan Ramadan turut memberikan golongan pengemis ini semakin galak menjalankan aktiviti mereka bagi meraih simpati masyarakat, yang mana semua orang tahu, amal ibadah termasuk bersedekah digandakan pahala di bulan mulia ini.

Bagi sesetengah masyarakat, tidak salah memberikan sedikit wang kepada pengemis yang dianggap orang yang berada dalam kesempitan, tanpa mereka sedar golongan terbabit hanya mengambil kesempatan dengan kemuliaan hati rakyat negara ini.

Lebih teruk, ada segelintir pengemis mengheret sekali ramai ahli keluarga termasuk anak-anak yang masih kecil untuk menadah tangan di tepi-tepi jalan mengharapkan belas ihsan orang ramai.

Situasi seperti ini biasanya hanya ada di bulan Ramadan kerana umat Islam mempunyai perasaan simpati yang amat tinggi ketika ini dalam mengharap balasan pahala berganda daripada Allah.

Mungkin masyarakat tidak sedar, dengan menghulurkan walaupun 10 sen kepada golongan pengemis yang mengambil kesempatan ini, secara tidak langsung mereka terus menggalakkan aktiviti tersebut terus subur dan sukar dibendung.

Ini kerana, pengemis tidak akan berusaha untuk melakukan sebarang pekerjaan memandangkan mereka boleh mendapatkan wang mudah seperti itu, seolah-olah rezeki ‘terpijak’ yang jatuh dari langit.

Dalam hal ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menjalankan aktiviti pembersihan pengemis di
negara ini, terutamanya di Kuala Lumpur dari masa ke semasa.

Masalahnya, mereka yang ditahan kebanyakannya akan kembali semula ke jalanan selepas dibebaskan kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menampung kehidupan seharian.

Ini semua disebabkan, selama ini masyarakat memberi harapan kepada mereka bahawa dengan tidak bekerja pun boleh mendapat wang yang tidak pernah putus.

Jadi, fikir-fikirkanlah. Jangan kita menjadi sebahagian daripada orang yang menggalakkan aktiviti mengemis semakin berkembang di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI