fbpx

Isteri sebak terima khairat kematian YGMB RM52,000 hasil caruman arwah suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aminudin (dua dari kiri) menyampaikan Khairat Kematian Skim Emas kepada Rosmaini (dua dari kanan) pada Majlis Iftar Ramadan Bersama YGMB di sebuah hotel di Kota Bharu semalam. -Foto ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

KOTA BHARU – Balu kepada seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerek, Gua Musang tidak menyangka dia layak menerima Khairat Kematian Skim Emas Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak lebih RM52,000 meskipun arwah suaminya mula mencarum RM35 sebulan.

Lebih mengejutkan Rosmaini Latif, 53, apabila suaminya, Zainuddin Ismail,58, yang meninggal dunia pada Januari lalu baru menyertai Skim Emas YGMB bermula tahun lalu, namun tetap layak menerima khairat kematian dalam jumlah yang banyak.

Menurutnya, wang tersebut akan digunakan sebaiknya untuk perbelanjaan bagi empat orang anak yang berusia 18 hingga 27 tahun selepas ketiadaan suami.

“Arwah suami meninggal dunia dua bulan lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru merupakan pencarum Skim Emas YGMB sejak tahun lalu dengan bayaran bulanan sebanyak RM35.

“Saya tidak menyangka dengan penyertaan ahli baharu YGMB pada tahun lalu, saya sebagai isteri layak menerima manfaat dan bayaran khairat kematian dalam jumlah yang banyak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan Bersama YGMB di sebuah hotel di sini semalam.

Pada majlis itu, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam menyerahkan Khairat Kematian Skim Emas sebanyak RM 52,007 kepada Rosmaini yang juga guru di SK Kangkong, Pasir Mas.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd. Zamri Abdul Aziz dan Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat .

Rosmaini memberitahu, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada YGMB kerana prihatin dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang ditimpa musibah.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, manfaat sebanyak hampir RM200,000 telah diserahkan kepada penerima yang layak untuk menerima khairat kematian, bencana banjir dan penyakit kritikal kepada ahli YGMB di Kelantan pada tahun ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI