PUTRAJAYA- Kadar inflasi pada bulan ini dan bulan depan dijangka melonjak susulan sentimen trend pembelian pengguna melakukan persiapan menjelang Hari Raya Puasa.
Kebimbangan tersebut disuarakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang akhbar mengenai Indeks Harga Pengguna Februari 2023 di kementeriannya, di sini hari ini.
“Kami (Kementerian Ekonomi) amat berdebar menunggu kadar inflasi Mac dan April yang mungkin naik sedikit ekoran permintaan tinggi konsumer sepanjang Ramadan,” katanya tadi.
Terdahulu, beliau memaklumkan inflasi pada bulan lalu akhirnya menunjukkan keadaan kembali mereda selepas tempoh enam bulan mencapai tahap kemuncak.
“Situasi tersebut menunjukkan buat kali pertama selama enam bulan berturut-turut mereda daripada kemuncak yang direkodkan pada September 2022, iaitu 4.5 peratus.
“Sehubungan itu, purata kadar inflasi nasional sepanjang tahun ini akan menepati ramalan sekitar 3.3 peratus dan mungkin boleh turun lagi kepada 3.1 peratus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Rafizi menjangkakan sentimen pembelian pengguna melakukan persiapan Aidilfitri akan mempengaruhi pasaran harga barangan domestik lebih ketara.
“Saya dan para pegawai kementerian serta pihak DOSM juga bimbang selain berdebar tunggu angka terkini inflasi seperti orang tunggu gaji hendak masuk,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE