PETALING JAYA – Ibu kepada komposer terkenal, Datuk M. Nasir, Aesah Yahya menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun di kediamannya di Singapura, pada pukul 4.15 petang semalam.
Khabar menyedihkan mengenai Allahyarham yang meninggal dunia akibat sakit tua itu dikongsi isteri M. Nasir, Datin Marlia Musa menerusi hantaran Instagram.
“Bonda kesayangan kami, Hajah Aesah Yahya baru sahaja meninggalkan kami ke negeri abadi,” tulisnya.
Berita pemergian bonda tercinta penyanyi tersohor itu turut meraih maklum balas selebriti tempatan dan peminat yang menzahirkan ucapan takziah.
Antaranya ialah Anuar Zain, Haiza, Alif Satar, Nad Zainal dan Elly Mazlein.
Dua tahun lalu, bapa M. Nasir iaitu Mohamed Sam, 96, meninggal dunia berikutan sakit tua, namun penyanyi Suatu Masa itu tidak dapat menghadiri pengebumian disebabkan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
M. Nasir merupakan anak keempat daripada sembilan bersaudara. Dua adiknya, Siti Hajar dan Normala adalah anggota kumpulan nasyid, Al Jawaher. – KOSMO! ONLINE