fbpx

Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam warganegara Filipina didakwa atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.- Foto FAISOL MUSTAPA/KOSMO!

SEPANG- Enam warga Filipina termasuk seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara satu hingga enam bulan selain denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Kesemua tertuduh iaitu Sahara Jamil, 51; Husin Jailun, 48; Nur Aisah Isanul,19; Ujirin Pandakan, 43; Mukmin Oskar, 29 serta seorang remaja perempuan berusia 15 tahun masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Ayuni Izzaty memerintahkan Sahara, Husin, Nur Aisah, Ujirin dan Mukmin dipenjara enam bulan bermula dari tarikh tangkap pada Khamis lalu, manakala remaja terbabit dikenakan hukuman penjara sebulan.

Kelima-lima tertuduh juga diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Majistret turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tamat menjalani hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Gate J11, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.

Zulkarnain dan Nor Fadilah dalam penghujahannya, memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh masuk ke negara ini melalui saluran tidak sah dan tindakan itu memberi ancaman yang besar kepada negara.

Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama JPN dalam Op Lancar kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di Sabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI