fbpx

CEO TikTok ‘diserang’, CEO Apple dijulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TikTok menjadi isu terbaharu yang meningkatkan ketegangan antara AS dan China. - AFP

BEIJING – Media China menyelar tindakan Amerika Syarikat (AS) yang memperlakukan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok seperti individu bersalah dan bertanyakan soalan bertubi-tubi ketika sidang Kongres minggu lalu dengan membandingkan layanan mesra diberikan kepada CEO Apple di Beijing, lapor akhbar Global Times.

Menurut akhbar milik pemerintah tersebut, CEO Apple, Tim Cook disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan ramai apabila beliau tiba di sebuah kedai Apple di Beijing, Jumaat lalu. Ia berlaku sehari selepas CEO TikTok, Shou Zichew dilayan dengan buruk oleh ahli-ahli Kongres di Washington.

Bukan sekadar itu, Menteri Perdagangan China, Wang Wentao turut bertemu dengan Presiden Majlis Perniagaan AS-China, Craig Allen, sambil berikrar untuk menyediakan persekitaran dan perkhidmatan lebih baik kepada syarikat-syarikat luar.

Wentao turut berjanji untuk mewujudkan jangkaan yang stabil bagi kerjasama antara syarikat-syarikat AS dengan China.

Situasi itu amat berbeza dengan sikap ahli politik di Washington yang secara terang-terangan mengancam serta cuba mengharamkan TikTok di negara itu selain memaksa penjualan aplikasi dimiliki oleh firma China, ByteDance tersebut kepada firma AS.

Media China menyifatkan perbezaan itu sebagai menunjukkan sikap terbuka pemerintah China terhadap syarikat-syarikat luar serta pendekatan permusuhan kerajaan AS terhadap Beijing.

Pada petang Jumaat lalu, Cook, dengan diiringi oleh beberapa pembantu berjalan masuk ke dalam sebuah kedai Apple di Sanlitun, Beijing yang disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan daripada pekerja dan pelanggan.

Berdasarkan video yang dimuat naik di media sosial, Cook tersenyum dan berjabat salam dengan kakitangan Apple serta pelanggan.

“Saya berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan pelanggan dan pasukan yang hebat di Apple Sanlitun,” katanya pada laman media sosial China, Sina Weibo di samping gambarnya bersama penyanyi tempatan, Huang Ling.

Kemunculan Cook di kedai tersebut menjadi tular di Weibo dengan pengguna media sosial China itu membandingkan layanan mesra tersebut dengan layanan buruk diterima oleh Zichew di AS.

“CEO TikTok dilayan dengan buruk di AS manakala CEO Apple disambut dengan begitu mesra oleh orang ramai di China. Ini menunjukkan China adalah negara yang mengamalkan dasar perdagangan yang adil dan bebas,” kata seorang pengguna media sosial.

“Ketika CEO Apple dialu-alukan di China, CEO TikTok cuba menghalang larangan aplikasi itu di AS. Pasaran mana yang lebih adil?” ujar seorang pengguna lain.

Pada Khamis lalu, Zichew disoal di hadapan ahli-ahli Kongres yang secara bergilir-gilir ‘menyerang’ lelaki berasal dari Singapura itu dengan mengaitkannya dengan Parti Komunis China.

Mereka tidak mengendahkan sebarang hujah daripada Zichew mengenai usaha-usaha dilakukan TikTok bagi menyelesaikan isu kebimbangan keselamatan seperti didakwa AS.

Menurut seorang pakar daripada Akademi Sains Sosial China di Beijing, Gao Lingyun, perbezaan antara sikap China dan AS pada asasnya adalah dasar yang berbeza terhadap pelaburan luar negara.

Tambah Lingyun, situasi itu membuatkan Washington secara tidak langsung memberi isyarat buruk kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara tersebut dan seluruh dunia selain orang awam bahawa firma-firma yang melabur di AS akan dihadkan kepada peraturan tertentu.

AS sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai amalan pengumpulan data oleh TikTok dengan mengaitkannya dengan aktiviti intipan China serta diburukkan lagi oleh populariti diterima aplikasi tersebut di negara itu.

Pentadbiran Joe Biden juga didakwa mendesak ByteDance agar menjual saham syarikat berkenaan dalam TikTok atau aplikasi tersebut berdepan pengharaman di AS, yang merupakan pasaran terpentingnya.

Kementerian Perdagangan China berkata, paksaan tersebut akan memusnahkan keyakinan pelabur luar secara besar-besaran kepada Washington. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI