fbpx

Anwar ucap terima kasih bantu 287 mangsa tipu pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) bersama Hun Sen (kanan) pada sidang akhbar bersama di Kemboja.- Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen kerana membantu seramai 287 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara terbabit.

Anwar berkata, Kemboja menjadi antara negara yang membantu Malaysia dalam menyelesaikan isu penipuan pekerjaan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Kemboja kerana menjadi negara yang membantu (Malaysia) dalam berdepan isu penipuan pekerjaan meskipun ada memberi kesan kepada rakyat mereka.

“Tetapi, Kemboja sangat membantu kita membawa pulang 287 mangsa terlibat.

“Berdasarkan laporan diterima, Kemboja begitu menyerlah dalam memberikan sokongan dan ia amat bermakna buat 100 keluarga mangsa terlibat,” katanya pada sidang akhbar bersama Hun Sen di Kemboja hari ini.

Dalam sidang akhbar sama, Anwar menggalakkan syarikat beras Malaysia untuk mempertimbang pilihan bagi mengimport beras dan kacang gajus dari Kemboja.

“Hun Sen ada memberitahu tentang kejayaan pengeluaran beras di Kemboja, saya tahu ia bukanlah sesuatu yang mudah, namum mereka berjaya meningkatkan penghasilannya.

“Jadi, saya mahu menyeru kepada syarikat beras Malaysia yang mengimport beras untuk mempertimbangkan pilihan mendapatan beras dan kacang gajus dari Kemboja,” jelasnya.

Terdahulu, ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pagi tadi disambut Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam Datuk Dr. Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.

Turut mengiringi Anwar pada lawatan tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar.

Dalam rangka lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni.

Anwar juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Hun Sen bagi membincangkan peluasan kerjasama itu demi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja yang telah lama terjalin serta mengadakan bertemu bersama Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI