PETALING JAYA – Mahu mengembalikan kenangan menyambut Syawal pada zaman kecil yang disambut penuh keriangan, menjadi tujuan utama buat penyanyi duo yang juga adik-beradik kembar, AishaHanim meluncurkan sebuah lagu raya berjudul Raya Rumah Terbuka.
Istimewanya untuk lagu raya pertama mereka itu, AishaHanim menjelaskan, Raya Rumah Terbuka mempunyai komposisi melodi dan lirik yang moden serta menepati cita rasa pendengar generasi kini.
Mereka yang sangat meminati lagu raya lama bagaimanapun ada pendapat sendiri tentang lagu-lagu raya baharu dengan menyifatkan karya tersebut mampu mengekalkan malar segar sekiranya kena dengan selera pendengar.
“Memang kami suka dengar lagu-lagu raya lama. Setiap kali Syawal, lagu-lagu itulah juga yang berkumandang dan menjadi halwa telinga. Tetapi lagu-lagu baharu pun sedap-sedap belaka.
“Sebab kami percaya, dunia muzik itu luas. Mungkin ada yang beranggapan, sukar untuk lagu baharu menambat hati peminat, tetapi cita rasa pendengar zaman sekarang sangat subjektif,” kata mereka.
Bercakap lanjut tentang Raya Rumah Terbuka, AishaHanim berkata, peluncuran lagu tersebut sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi merupakan cara untuk mereka meraikan Aidilfitri.
“Kami cuba membawa pendengar kembali ke zaman kanak-kanak ketika Aidilfitri disambut dengan penuh keriangan,” tambah duo itu lagi.
Dalam pada itu menyentuh tentang pembikinan Raya Rumah Terbuka, lagu yang berkonsep irama kugiran disuntik dengan elemen tradisional tersebut ditulis oleh Omar K dan lirik pula daripada Hanis Rafi serta Firdaus Rahmat.
Lagu tersebut dilengkapi dengan video muzik yang berkonsepkan suasana kampung, sesuai dengan mood meriah menyambut raya bagi kebanyakan masyarakat.
“Kami selesa bekerjasama dengan Omar K. Dia faham hala tuju muzik dan senang untuk berbincang. Lagu ini menggabungkan elemen tradisional dan kugiran serta lirik yang mengimbau nostalgia Aidilfitri.
“Sementara untuk video muzik pula, kami teruja mendapat tajaan daripada sahabat kami, Datuk Aliff Syukri di salah sebuah pusat penginapannya. Kebetulan kami memang mahukan suasana kampung.
“Kami berharap apabila peminat mendengar lagu ini terus rasa teruja untuk menyambut lebaran dan meraikan kemeriahannya bersama keluarga,” ujar pasangan duo itu yang popular dengan lagu Angkara.
Lagu Raya Rumah Terbuka boleh didengari menerusi semua platform digital. -KOSMO! ONLINE