PETALING JAYA – Seorang lelaki menyentuh hati ramai pengguna media sosial apabila sanggup memberikan kad Touch ‘n Go (TNG) miliknya bagi membantu pengguna jalan raya lain.
Menerusi video papan pemuka yang dimuat naik di akaun TikTok @infodashcam, kelihatan pemilik kereta jenis Proton Persona ingin mengundurkan kenderaannya kerana tidak mempunyai baki yang mencukupi.
Pemilik kereta di belakangnya kemudiannya meminjamkan kad TNG miliknya melalui petugas tol.
“Saya ada kad lain, bagi dia. Tidak perlu undur,” ujar lelaki berkenaan.
Sehingga kini video tersebut mendapat 1.6 juta tontonan, 73,900 tanda suka dan 533 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang terharu melihat kebaikan lelaki berkenaan dan dianggap perlu dicontohi rakyat Malaysia.
“Bukan semua orang tidak mahu bayar. Tetapi masalah lain yang jadi. Terima kasih untuk orang yang baik hati macam ini,” komen Nazlan.
“Saya pun pernah dulu, kereta baru beli. Boleh pula bawa kad, ada lelaki datang dan bayar untuk saya,” komen seorang pengguna.
“Terbaik abang, sangat bertolak ansur. Semoga murah rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE