KUALA LUMPUR – Hasrat beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk merangkul gelaran sulung musim ini ranap selepas tewas kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di St. Jakobshalle, Basel, beregu No.11 dunia itu akur dengan kekalahan tiga set 17-21, 21-19, 17-21 dalam perlawanan yang memakan masa 60 minit.
Meskipun tewas, namun Soon Huat-Shevon sudah memberikan tentangan sengit apabila tidak mudah mengalah selain mengekori rapat kedudukan mata pemain lawan dalam kesemua set permainan.
Pada aksi set pertama, wakil tunggal Malaysia di perlawanan akhir itu terlebih dahulu mendahului permainan sebelum Zhen Bang-Ya Xin kembali mendapatkan rentak dan memintas kedudukan mata untuk menang 21-17.
Memasuki set kedua, China seolah-olah sudah sebelah tangan untuk meraih kejuaraan apabila mendahului dengan perbezaan mata cukup besar 14-8, namun semangat juang yang ditunjukkan Soon Huat-Shevon mengatasi segala-galanya.
Beregu yang pernah berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berjaya memperkemaskan permainan dan mengutip mata demi mata sebelum menang 21-19 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bersambung set ketiga, aksi berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua pasukan saling bertukar servis sebelum China berada dalam keadaan selesa apabila mendahului 19-16, seterusnya memastikan gelaran milik mereka menerusi kemenangan 21-17. – KOSMO! ONLINE