fbpx

Sarah nekad cerai, Syamsul masih sayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH sudah berkira-kira untuk menggunakan hakam bagi meneruskan tuntutan cerai daripada Syamsul Yusof.

SELASA lalu, buat pertama kalinya pengarah sensasi Syamsul Yusof membuka mulut tentang konflik yang sedang melanda rumah tangganya bersama isteri pertama, Puteri Sarah Liyana.

Syamsul yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hadir ke mahkamah untuk memfailkan beberapa tuntutan nusyuz ke atas Sarah yang didakwa antaranya telah berlaku curang terhadap suaminya.

Pendedahan Syamsul atau nama lengkapnya Mohd. Syamsul Mohd. Haslam itu, sekali gus membuka episod baharu ketegangan dalam rumah tangganya bersama Sarah.

Ketika ditemu bual media, Syamsul yang ditemani peguamnya, Azmi Mohd. Rais berkata, antara alasan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Sarah adalah kerana wanita itu masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.

“Selama ini apa yang berlaku ke atas rumah tangga, saya banyak diam. Rasa tak elok nak kongsi hal ini kepada umum.

“Saya sudah memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima apabila isterinya curang dengan suami orang lain. Saya tahu Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya sewaktu di zaman kolej lagi,” dedah Syamsul.

SYAMSUL masih berharap diberi ruang oleh Puteri Sarah untuk berbincang soal kerukunan hidup sebagai pasangan berpoligami.

Tuntutan nusyuz

Selain dikatakan curang, antara lain tuntutan nusyuz yang dikemukakan Syamsul ke atas Sarah adalah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020. Kedua, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan membuat kenyataan fitnah apabila dituduh memukul dan tidak memberi nafkah kepada isteri.

Tidak berdiam diri, Sarah kemudiannya menangkis dakwaan yang dilemparkan suaminya apabila mengatakan dirinya curang dengan bekas kekasih.

Bukan itu sahaja, Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin juga mempersoalkan mengapa baru sekarang suaminya itu ingin memfailkan tuntutan nusyuz sedangkan sudah empat tahun mereka berantakan.

“Apa yang dia mahukan lagi? Buatlah apapun kerana saya tidak takut. Saya yakin saya di pihak yang benar. Cuma saya ingin ingatkan yang mereka (Syamsul dan pihak ketiga) sekarang ini sedang dalam siasatan di bawah satu akta kesalahan jenayah syariah (bersetubuh luar nikah),” kata Sarah.

Tuduhan berat yang dilemparkan Sarah itu ternyata langsung tidak boleh diterima Syamsul.

Selain menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas, Syamsul turut mempersoalkan ketelusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Tambahnya, kes tersebut masih dalam siasatan bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Seksyen 23; Persetubuhan Luar Nikah.

Syamsul turut kesal apabila dituduh memukul isterinya seperti yang didakwa oleh Sarah pada awal Mac lalu.

Kata anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam itu, dia tidak pernah walau sekali ‘naik tangan’ kepada Sarah.

“Dia fitnah saya pukul, tak beri nafkah. Saya terpinga-pinga bila tahu dia buat dakwaan sebegitu. Mungkin dia benci saya ketika itu, tapi takkan sampai begini,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya, Syamsul mengakui masih menyayangi Sarah dan mahu wanita itu kekal menjadi isteri pertamanya.

SYAMSUL masih berharap diberi ruang oleh Puteri Sarah untuk berbincang soal kerukunan hidup sebagai pasangan berpoligami.

Masih sayang

Jumaat lalu, pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila sesi perdamaian membabitkan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) gagal menemui jalan penyelesaian.

Hadir berasingan, Sarah bertegas dengan pendirian tidak mahu meneruskan hubungan rumah tangganya bersama Syamsul.

Malah, jika keinginan itu tidak dipenuhi, Sarah tidak teragak-agak untuk menggunakan hakam bagi menuntut proses perceraian.

Sebagai suami yang masih menyayangi isterinya, Syamsul tetap berusaha sebaik mungkin untuk memujuk hati isteri dengan berbincang supaya dapat memberi peluang kedua buat dirinya.

Syamsul juga sangat berharap Sarah dapat menerima poligami dan mahu berbincang mengenai giliran bermalam.

Akui bapa kepada dua cahaya mata itu, perceraian bukan jalan mudah atau menjadi penyelesaian kepada masalah, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu difikirkan.

“Orang selalu cakap kenapa saya enggan menceraikan dia. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan kami lebih tahu urusan rumah tangga dan hal ‘dalam kain’.

“Hakikatnya ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.

“Jadi sebab itulah saya nak sangat bertemu Sarah supaya kami dapat berbincang bersama-sama bagi menyelesaikan hal ini dengan baik dan harmoni. Saya bukan mahu menyerang isteri saya itu. Cuma nak jumpa sahaja,” katanya.

Pada masa sama, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu memaklumkan dia sedia mempertimbangkan permintaan Sarah untuk dilepaskan sekiranya isteri pertamanya itu mahu berjumpa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI