fbpx

Reformasi TVET penuhi agenda transformasi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TVET perlu diperkasakan bagi menampakkan hasil sebenar dalam proses pembangunan modal insan berimpak tinggi di negara ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Isu pengangguran dan ketidakpadanan gra­duan dengan permintaan pihak industri tidak akan selesai selagi pihak pemegang taruh masih melaksanakan sistem pendidikan dan latihan secara konvensional.

Pemilihan laluan graduan me­lalui akademik akan membuang masa kerana mereka perlu dilatih semula selepas mendapat peluang pekerjaan.

Isu itu hanya akan diselesaikan sekiranya bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijadikan salah satu laluan utama untuk graduan mencipta peluang pekerjaan.

Pengarah Eksekutif National Digital TVET Innovation Centre (NDTIC), Prof. Dr. Razali Hassan berkata, usaha memperkasa TVET sudah lama diperkatakan di negara ini, namun ia masih belum menampakkan hasil sebenar dalam proses pembangunan modal insan berimpak tinggi.

Katanya, ia akan melambatkan proses pertumbuhan ekonomi negara memandangkan usaha melaksanakan penambahbaikan dilakukan secara tidak konsisten dan perlahan.

“Inisiatif mengaplikasikan ele­men pendigitalan dan sulaman teknologi menjelang 2030 hanya akan dapat direalisasikan sekiranya semua pihak mampu bekerjasama dan berada di bawah satu bumbung bagi tujuan penyela­rasan dan pengawalan mencapai matlamat agenda TVET negara.

“Ia penting bagi menghasilkan modal insan kreatif dan berinovasi serta berkemahiran dengan penyertaan aktif pelbagai pihak terutama mereka yang terlibat dengan bidang teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya di sini semalam.

RAZALI

Menurut Razali, segala inisia­tif pendigitalan peringkat nasional mestilah mendapatkan panda­ngan dan nasihat daripada Kementerian Komunikasi dan Digital.

“Ini kerana kementerian ini punyai pengetahuan, kemahiran, dan kepakaran yang diperlukan ke arah ini.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan yang kementerian ini mestilah diberi mandat oleh kerajaan dalam menerajui inisia­tif ini,” katanya.

Tambahnya, untuk tujuan itu, proses transformasi perlu bermula dengan mendigitalkan seluruh institusi pendidikan awam dan swasta dengan inisiatif peng­automasian proses kerja untuk meningkatkan kecekapan tadbir urus dan mengoptimumkan kos bagi meningkatkan produktiviti.

“Seluruh program yang ditawarkan di institusi pendidikan dan latihan perlu berasaskan kepada keperluan industri,” katanya.

Ujar Razali, modal insan yang dihasilkan perlu bercirikan tekno-usahawan dengan ciri-ciri minda usahawan, kreatif, inovatif, mampu berkomunikasi secara efektif serta mampu ber­peranan sebagai ‘effective problem solver’.

“Jika ia berhasil, pastinya kriteria pelajar ini bukan sahaja dapat memenuhi kehendak industri, malah mampu mencipta bidang dan peluang pekerjaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI