KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang suspek dipercayai terbabit dengan kes penemuan rangka kucing yang disimpan di sebuah kondominium di sekitar Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berusia 31 tahun yang ditahan itu juga merupakan penyewa rumah kondominium yang menempatkan puluhan rangka kucing.
“Reman terhadap suspek dibenarkan sehingga Selasa hadapan dan perkara lain masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Persatuan Haiwan Malaysia, mendedahkan penemuan puluhan bangkai yang dipercayai bangkai kucing disimpan di kondominium terbabit.
Presidennya, Arie Dwi Andika dipetik berkata, kejadian tersebut dibongkar susulan aduan penduduk kondominium tersebut berhubung bau busuk di kediaman berkenaan.
Difahamkan, pemilik rumah berkenaan yang memeriksa rumahnya terkejut apabila menemui berpuluh rangka, organ dan bangkai kucing di dalam kediamannya.
Dalam pada itu, terdapat anggota badan haiwan yang dikerat-kerat, selain daging dikisar lumat di dalam rumah disewanya itu. Seterusnya, terdapat satu bilik di kediaman itu turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang telah lama reput.
Justeru itu, Dwi Andika menggesa siasatan segera dijalankan oleh pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berikutan sehingga kini tiada maklum balas positif selepas laporan dibuat 13 Mac lalu. -KOSMO! ONLINE.