PETALING JAYA – Ramai pembeli merungut harga di bazar Ramadan tahun ini terlalu tinggi memandangkan kos sara hidup juga yang naik mendadak.
Malah ada yang menyifatkan harga makanan kali ini umpama ‘nak pergi haji balik hari’.
Bagi peniaga pula, mereka tiada pilihan dengan kenaikan harga makanan yang dijual itu disebabkan kos bahan mentah yang sememang mahal ketika ini.
Di Melaka, tinjauan Kosmo! Ahad di bazar Ramadan Telok Mas, dekat sini mendapati harga makanan naik sekitar RM1 sehigga RM1.50 didakwa disebabkan kos bahan membuat makanan yang naik.
Seorang peniaga martabak, Mohd. Hafizan Mohd. Zin, 35, berkata, dia terpaksa menaikkan harga martabak daripada RM4 pada tahun lalu kepada RM5 selepas mengambil kira kos tepung yang naik mendadak mencecah RM29 bagi 10 kilogram.
“Tahun lepas harga tepung satu kotak (10 kilogram) hanya RM22.90 tetapi tahun ini naik sekitar RM29 sehingga RM30, daging kisar juga naik daripada RM13 menjadi RM15.50.
“Jadi saya terpaksalah naikkan harga RM1 untuk martabak daging dan ayam. Dahulu perniagaan ini 70 peratus adalah keuntungan dan 30 modal tetapi sekarang dah terbalik,” katanya.
Tambahnya, dia yang telah menjalankan perniagaan itu selama sembilan tahun hampir berputus asa meneruskan jualan di bazar Ramadan pada tahun ini selepas membuat perbandingan keuntungan.
“Sekarang ini bila tengok cuaca mendung sahaja, saya sudah berkira-kira untuk nak berniaga di bazar ke atau tidak kerana keuntungannya bukanlah besar tetapi kerjanya memenatkan.
“Sekarang kalau jalan sampai hujung, memang boleh tengok harga juadah semuanya naik, dulu orang ke bazar untuk berjimat, sekarang dah macam harga food court bezanya sini perlu bersesak dan tiada penyaman udara, sudah tidak relevan,” luahnya.
Sementara itu, di bazar Ramadan Jasin Bistari, seorang peniaga roti John, Samsul Hussin, 42, yang telah berniaga kira-kira tujuh tahun berkata, dia terpaksa mengekalkan harga RM6 untuk Roti John biasa dan keju RM7.
“Harga barang memang naik, tahun lepas roti satu plastik (10 buku) RM9, sekarang RM11, begitu juga daging kisar dan telur.
“Satu roti John itu bukanlah banyak, sesuai dikongsi dengan dua orang sahaja, kalau anak-anaknya ramai memang mereka tidak berpeluang merasa juadah ini, jadi fokus saya adalah mengejar kuantiti jualan sahaja selebihnya bersedekah,” katanya.
Di Sungai Petani, Kedah pula, seorang peniaga, Rohani Bakar, 44, berkata, kenaikan keseluruhan bahan mentah menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan untuk mendapat sedikit keuntungan dengan menaikkan harga semua juadah yang dijualnya.
“Harga jualan masih lagi berpatutan kerana pembeli dapat menikmati makanan, manakala dan pada masa sama kami tidak alami kerugian,” katanya.
Sementara itu di Tumpat, Kelantan, seorang peniaga ayam percik, Amri Mohamad, 51, berkata, dia kekal menjual ayam perciknya pada RM8 atau RM9 bergantung kepada saiz untuk sebahagian ayam yang dikerat empat.
Jelasnya, dia terpaksa mengekalkan harga hidangan itu sama seperti tahun lalu meskipun harga seekor ayam mentah ketika ini RM9.60 sekilogram.
“Saya bimbang untuk menaikkan harga makanan kerana tidak mahu pelanggan lari. Lebih baik saya kekalkan sahaja harga walaupun jumlah keuntungan perniagaan berkurang.
“Memang mencabar menjual makanan kali ini,” jelasnya.