KLANG – Pakatan Harapan (PH) masih menjadi pilihan rakyat untuk mentadbir di Selangor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keyakinan susulan pemerhatiannya yang mendapati majoriti rakyat Selangor masih memberi sokongan kepada pakatan berkenaan seterusnya mengekalkan penguasaan di Selangor sejak tahun 2008.
“Dapatan yang dibuat Dr. Ong Kian Meng (Bendahari DAP Selangor) mendapati undi bukan Melayu ke atas PH agak tinggi (pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu).
“Malah, undi orang Melayu juga tinggi untuk kita. Kalau tidak, tak kan kita menang di Parlimen Gombak dan Ampang pada November lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Tahun DAP Selangor 2023 di Grand Centro Ballroom, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin mengakui kerja kuat perlu dilakukan untuk memenangi kerusi-kerusi Parlimen di bahagian Selangor Utara susulan keputusan PRU-15 sebelum ini.
Namun, beliau menegaskan, PH mampu menawan semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas sebelum ini seperti di Batang Kali dan Jeram selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan negeri.-KOSMO!ONLINE