fbpx

Noraini dilantik Pengerusi Risda baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini dilantik sebagai Pengerusi Risda yang baharu.

SEBERANG PERAI – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) yang baharu.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut mempertahankan lantikan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) ketika ini.

“Ashraf (Wajdi) seorang ‘banker’ dan dia pakar dalam (bidang) perbankan Islam. Itulah profesion dia sebelum terjun ke dalam bidang politik.

“Maka, rugilah dengan pengalaman dan kelulusan yang begitu… ada PhD (ijazah kedoktoran) dalam ‘Islamic banking’, kita tak guna untuk sama-sama bangunkan Mara,” katanya kepada pemberita selepa melakukan lawatan kerja ke pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Butterworth, hari ini.

Ahmad Zahid (kanan) ketika hadir ke sesi penyerahan kunci kepada 10 penyewa Skim Perumahan Rakyat (SPR) di Perda, Butterworth hari ini. – Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

Sempena lawatan itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyerahkan kunci kepada 10 penyewa yang mewakili 52 peserta projek Skim Perumahan Rakyat (SPR) Perda untuk daerah Barat Daya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, penubuhan Perda Food Valley ketika ini bertujuan membantu menangani isu keterjaminan makanan negara selain meningkatkan pengeluaran pertanian melalui penyewaan tanah yang masih belum dibangunkan.

Katanya, ketika ini, pengeluaran hasil daripada Perda Food Valley ini mencecah 568 tan iaitu bersamaan RM1.963 juta sebulan.

“Sementara itu, satu lagi inisiatif iaitu Perda Food Park (PFP) pula memfokuskan usaha pengeluaran makanan halal.

“Ia dilakukan melalui program pembangunan ekonomi iaitu dengan menyediakan sebuah kompleks kilang IKS (industri kecil sederhana) di Kubang Menerong, Tasek Gelugor,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI