KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin kempunan untuk melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland apabila tewas kepada Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dari India.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di St. Jakobshalle sebentar tadi, gandingan No.8 dunia itu akur dengan kehebatan pemain lawan apabila kalah menerusi aksi tiga set 19-21, 21-17, 17-21 dalam tempoh lebih sejam.
Kekalahan itu sekali gus menyaksikan hasrat Ee Yi-Yew Sin untuk melangkah ke perlawanan akhir pertama pada musim ini terus tertangguh selepas cuba melakukannya dalam empat kejohanan terdahulu.
Ee Yi-Yew Sin yang masih memburu kejuaraan sulung musim ini bermula dengan agak perlahan apabila mereka membenarkan beregu India tersebut menguasai aksi di set pertama dan menang 21-19.
Tersentak dengan kekalahan itu, Ee Yi-Yew Sin kembali memperkemaskan permainan di set kedua dan berjaya memimpin keseluruhan perlawanan, meskipun diberi tentangan sengit sebelum menang 21-17 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, perlawanan pada awalnya berlangsung sengit, namun sebaik sahaja Shetty-Rankireddy mula menjarakkan kedudukan mata, mereka mula mendapat keyakinan sebelum memuktamadkan kemenangan 21-17.
Menanti Shetty-Rankireddy di perlawanan akhir nanti adalah beregu China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang yang menewaskan Ben Lane-Sean Vendy dari England mnerusi aksi straight set 21-10, 21-17 dalam tempoh 43 minit. – KOSMO! ONLINE