PETALING JAYA – Sebuah kilang memproses serbuk cat di Jalan 13/3, Seksyen 13, di sini hangus dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pukul 4.42 pagi tadi.
Katanya, seramai 29 anggota bersama 12 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, BBP Penchala, BBP Puchong, BBP Subang, BBP Kota Anggerik dan BBP Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, berlaku kebakaran sebuah kilang memproses serbuk cat yang juga bangunan kelas A terbakar sebanyak 40 peratus.
“Proses pemadaman telah dijalankan oleh pihak bomba dan tiada mangsa terlibat setakat pukul 5.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Morni, kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 8.11 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan oleh pihak bomba.
“Tidak kesan berlakunya tumpahan bahan kimia atau bahan berbahaya yang lain di tempat kebakaran,” katanya.-KOSMO! ONLINE.